Ngabang Raya eratkan ukhuwah warga Unimas

Taib (empat dari kanan) memecahkan belon sebagai simbolik perasmian Majlis Retro Ngabang Raya Unimas 2018 di Dewan Bankuet, DeTAR PUTRA, Unimas.

KOTA SAMARAHAN, Julai 5: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini mengadakan Majlis Ngabang Raya bertempat di Dewan Bankuet, DeTAR PUTRA, Unimas yang dihadiri lebih 3,000 orang hadirin.

Hadir memeriahkan Ngabang Raya Unimas ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor Unimas, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Ngabang Raya tahun ini bertemakan ‘Retro’ dengan 16 kediaman dibuka oleh Pusat-pusat Tanggungjawab (PTj) dan fakulti-fakulti Unimas berserta hidangan menarik disajikan kepada para pengunjung.


Aktiviti lain yang diadakan dalam Ngabang Raya Unimas kali ini ialah pertandingan Kumang Unimas 2018, Keling Unimas 2018, Raja Songket Unimas 2018, Ratu Keringkam Unimas 2018, Teratak Manah dan Glam Shoot Ngabang Raya 2018.

Turut hadir dalam majlis sambutan Aidilfitri hari ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie serta isteri, Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi serta isteri, barisan LPU, dekan-dekan, warga Unimas serta orang luar.

Majlis Ngabang Raya Unimas diadakan bertujuan untuk meraikan sambutan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri serentak bagi universiti ini.

Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim, mengukuhkan ukhuwah dan menyemai nilai-nilai kekeluargaan dan persahabatan di kalangan warga Unimas. — DayakDaily