Oleh Chris Bishop
KUCHING, 12 Sept: Projek Pembangunan ‘Neu Pendington’ di Kuching merupakan titik mula transformasi kawasan perindustrian kepada kawasan perumahan dan komersial, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain.
Katanya, projek pembangunan bersepadu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM496 juta itu melibatkan tanah seluas 12.6 ekar.
Ia terletak kira-kira 5km dari pusat bandar Kuching dan berhampiran dengan Pending Heights.
“Projek pertama seumpama ini merangkumi dua blok kompleks pangsapuri yang mempunyai 25 tingkat yang lengkap 4 dengan kolam renang, gimnasium dan taman permainan, pejabat dan rumah kedai dari dua tingkat hingga enam tingkat.
“Ia juga memiliki satu blok hotel 12 tingkat yang menghadap Sungai Sarawak. Tambahan pula, projek ini adalah pembangunan hartanah pertama di Borneo atau Asia Tenggara yang akan dikaitkan dengan Autonomous Rail Transit (ART) berkuasa hidrogen,” katanya.
Abdul Aziz berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Pembangunan Usahasama ‘Neu Pendington’ di antara SEDC dengan UDA Holdings Berhad yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, Memorandum Perjanjian Pembangunan Bersama itu telah ditandatangani dua tahun yang lepas.
Dalam pada itu, Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Norliza Abdul Rahim dalam ucapannya berkata, perjanjian usahasama itu membolehkan pihak SEDC dan UDA memperhalusi setiap aspek.
Ujar beliau, ia bagi melahirkan sebuah persekitaran pembangunan, yang bakal membentuk komuniti kondusif, seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia.
“UDA yakin dengan adanya kepakaran dan pengalaman dimiliki selama 50 tahun, serta kerjasama erat dengan SEDC, mampu memacu pembangunan yang merangkumi kediaman, komersial dan juga hotel,” katanya.
Tambah Norliza, pembangunan usaha sama ini akan memberi pulangan berjumlah hampir RM98 juta kepada SEDC.
Katanya, projek ini dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya pada 2029 di mana fasa pertama akan siap pada 2026 dan fasa kedua pada 2027.
“Neu Pendington adalah gabungan ‘Neu’ yang membawa maksud pembaharuan, moden, terkini atau kontemporari.
“‘Pendington’ pula adalah kombinasi mengambil nama asal kawasan pembangunan ini, iaitu Pending dan inspirasi dari nama bandar Paddington di kota London,” ujar Norliza. — DayakDaily