Nelayan Tanjung Manis digalak terokai perikanan laut dalam

Dr Ronald Kiandee
Advertisement

KUCHING, 7 Mac: Para nelayan Sarawak khususnya di Tanjung Manis adalah digalakkan untuk meneroka perairan perikanan laut dalam negeri.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebanyak 560 buah kuota lesen laut dalam untuk permohonan baharu telah dibuka.

“Kuota ini dibuka dengan memanfaatkan kemudahan pangkalan sedia ada di Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Tanjong Manis dan Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tanjong Bako,” katanya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan MP Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Advertisement

Sebelum itu, Yusuf bertanya mengenai status pembekuan pemberian lesen kepada para nelayan pantai (Zon A) di Parlimen Tanjong Manis yang telah menjejaskan peluang nelayan-nelayan untuk menangkap ikan dan mendapat bantuan dari kementerian.

Tambah Dr Ronald, pembekuan semua lesen vesel dan peralatan menangkap ikan telah dilaksanakan oleh MAFI semenjak tahun 1982 bagi Zon A, B, dan C kecuali vesel menangkap ikan yang beroperasi beroperasi di laut dalam iaitu Zon C2 di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, serta Zon C3.

“Pembekuan ini dilaksanakan setelah mengambil kira status sumber perikanan dan tahap tampungan bilangan vesel penangkapan sedia ada yang beroperasi di dalam perairan Malaysia yang telah mencapai tahap optimum,” ujarnya.

Manakala, beliau memberitahu, sebanyak 26 permohonan Lesen Sampan Khas melalui Program Pemutihan ke atas lesen Zon A telah diluluskan untuk kawasan Tanjong Manis.

“Kelulusan lesen adalah tertakluk kepada proses pemutihan yang dijalankan dari semasa ke semasa demi memastikan sumber perikanan dapat diuruskan secara mapan serta mengurangkan kesesakan di zon tangkapan,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald menjelaskan bahawa MAFI telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan bagi membantu golongan nelayan untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti, taraf hidup serta pendapatan.

“Antara inisiatif tersebut termasuklah Program Pasar Nelayan, Dana Nelayan (SNEP), dan Program Pembangunan Pelan Peningkatan Pendapatan Golongan B40: Nelayan Melalui Projek Tanaman Kontan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement