Nasihat Agong bubar parlimen selepas Covid-19 reda

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 4 Feb: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menasihati Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan parlimen selepas penularan wabak Covid-19 di negara ini mulai reda sekaligus membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan dengan selamat.

Justeru beliau meminta semua pemimpin sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang untuk mengenepikan fahaman politik serta bersama-sama mengembleng usaha dalam memerangandan memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19.


“Kerajaan telah mengumumkan pelanjutan PKP sehingga 18 Februari 2021. Dalam tempoh dua minggu ini, kerajaan akan memantau perkembangan kes-kes harian Covid-19 mengikut sektor dan lokaliti serta menilai semula keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang dilaksanakan.

“Apapun tindakkan atau langkah seterusnya diambil oleh kerajaan pastinya, berasaskan kepada maklumat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa anda semua,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Muhyiddin dalam pada itu turut menyeru semua pihak untuk berhenti melemparkan tomahan tidak berasas terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam memperkenankan proklamasi darurat dilaksanakan.

Katanya, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bersetuju untuk memberi perkenan kepada kerajaan bagi proklamasi darurat setelah baginda berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada pada tahap kritikal dan perlunya perlaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

“Proklamasi Darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat,”katanya. — DayakDaily