Nasib malang penghuni rumah panjang Nanga Entulang dapat perhatian Simoi

Simoi (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Dis 13: Nasib malang yang menimpa seramai 186 mangsa kebakaran di Rumah Panjang Sambau di Nanga Entulang dekat sini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri, hari ini.

Simoi bersama rombongan telah meluangkan masa selama beberapa jam untuk meninjau keadaan semua mangsa yang terjejas akibat kebakaran, semalam.


Dalam kunjungan tersebut, Simoi turut menghulurkan bantuan berupa wang tunai serta barangan keperluan dapur untuk meringankan beban semua mangsa yang terlibat.

Simoi berkata, Pusat Khidmat DUN Lingga turut menyediakan sarapan pagi, makanan serta minuman pada tengah hari dan malam kepada semua penghuni yang terjejas.

Katanya, turut disediakan ialah khemah besar dan beberapa buah kanopi bagi membolehkan penduduk berteduh sementara kerja-kerja pembersihan tempat kebakaran dilakukan.

“Pada masa sama, saya turut bersedih sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga seorang wanita warga emas iaitu Yon Manjat, 60, yang ditemui mati rentung dalam kebakaran semalam,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan seorang wanita ditemui maut, manakala lebih 100 penghuni rumah panjang di Nanga Entulang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran. — DayakDaily