Akibat termakan pujuk rayu kekasih Instagram, jururawat lesap RM4,200

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 13: Akibat termakan pujuk rayu kekasih kononnya dari Amerika Syarikat yang dikenali menerusi laman sosial Instagram, seorang jururawat kerugian wang sebanyak RM4,200.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian menimpa wanita berusia 27 tahun itu dilaporkan berlaku antara Disember 1 sehingga 9 lepas.


Menurutnya, berdasarkan laporan diterima semalam, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warga Amerika Syarikat bernama Jackson melalui Instagram.

“Sepanjang perkenalan tersebut, mangsa dan lelaki tersebut telah berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan menggunakan nombor 233238935122 (nombor suspek).

“Selepas beberapa hari, lelaki berkenaan kemudian meminta pertolongan daripada mangsa untuk menyimpan wang miliknya sebanyak USD20,000,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, pada mulanya mangsa enggan berbuat demikian, namun selepas dipujuk oleh lelaki itu mangsa terpaksa akur dan berjanji untuk membantu suspek tersebut.

Katanya, pada Disember 9 lepas, lelaki tersebut mengatakan telah mengirim wang itu melalui rakannya bernama Michael.

Bagaimanapun katanya, suspek memberitahu mangsa bahawa wang tersebut telah ditahan oleh pihak Kastam Kuala Lumpur.

“Suspek seterusnya memberitahu mangsa, bagi melepaskan wang tersebut mangsa perlu membuat pembayaran sebanyak RM4,200 ke akaun sebuah syarikat.

“Tanpa menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian memindahkan wang berjumlah RM4,200 secara dalam talian kali ke akaun yang diberikan lelaki berkenaan.

“Selepas membuat tranksi pemindahan wang sebanyak dua kali, mangsa baru menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily