Buruh am melayang wang RM2,950 akibat terpedaya sindiket ‘parcel scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 13: Gara-gara teruja untuk mendapatkan bungkusan hadiah daripada kenalan wanita yang dikenali menerusi aplikasi Tagged, seorang buruh am melayang wang sebanyak RM2,950 akibat ditipu sindiket ‘parcel scam’.

Kejadian menimpa lelaki berusia 40 tahun itu dilaporkan berlaku antara Disember 4 hingga 12 lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, laporan diterima mendapati mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Hanna M menerusi aplikasi Tagged.

Jelasnya, setelah beberapa hari berkenalan, suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa dia akan mengirim bungkusan hadiah kononnya sebagai tanda perkenalan mereka.

“Mangsa telah diberitahu suspek akan mengirim hadiah seperti iPhone 7plus, Samsung Tab, jam tangan, minyak wangi, bunga dan wang sebanyak £10,000 (Pound Sterling).

“Semalam (Disember 12) mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada nombor 011-28680575 yang memperkenalkan diri sebagai Syafiqah dari Kargo Subang Jaya meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM2,950 untuk mendapatkan bungkusan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa yang teruja untuk mendapatkan bungkusan hadiah berkenaan kemudian memasukkan wang sebanyak RM2,950 ke dalam satu akaun bank seperti yang diberikan wanita itu.

Katanya, selepas itu, mangsa turut menerima panggilan telefon daripada wanita sama dan meminta buruh am berkenaan memasukkan lagi wang sebanyak RM5,270.

“Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian tidak membuat sebarang bayaran kedua sebelum dia membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily