Naroden: BROSS dengan aplikasi HELPY mudahkan urusan jual beli digital

Datuk Mohd Naroden Majais - file pic

KUCHING, APRIL 27: Kerajaan telah memperkenalkan satu program yang dikenali sebagai Bazaar Ramadan Sarawakku Sayang (BROSS) untuk memudahkan pengguna membuat tempahan barangan keperluan.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Industri Terminal dan Keusahawan (MINTRED) Datuk Naroden Majais berkata, program menggunakan beberapa pengkalan digital dan sesuai digunakan menjelang perayaan hari raya dan gawai akan datang.

“Salah satu daripada pengkalan digital yang diwujudkan oleh kementerian adalah aplikasi HELPY.

HELPY

‘Aplikasi ini membantu para usahawan mempromosikan barangan mereka, membantu para pengguna mencari barang keperluan dan seterusnya menghantar barangan tersebut terus ke rumah mengikut tarikh dan masa yang telah dipilih,’katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, program BROSS dengan platfom HELPY mendapat sambutan baik dan telah berkembang dengan kadar yang sangat cepat.


“Sejak pengumuman pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas, BROSS mula dilancar secara sederhana dan sekarang sudah berkembang ke seluruh 12 bahagian di Sarawak.

“Setakat ini 1,721 orang usahawan telah menggunakan BROSS dan telah mendaftar seramai 410 ‘orang runner’,’ katanya.

Menurut Naroden lagi, aplikasi HELPY boleh dimuat turun melalui Google Play atau App Store. — DayakDaily