Nanta: Peruntukan RM4.09 bln melalui Jendela tingkatkan liputan jalur lebar di negeri ini

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 27 Sept: Peruntukan RM4.09 bilion kepada Sarawak bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bakal mempertingkatkan liputan jalur lebar di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dilaksanakan melalui pembinaan infrastruktur digital.

“Kita gembira apabila kerajaan memperuntukkan RM4.09 bilion kepada Sarawak bagi pelaksanaan Jendela sepanjang tempoh RMKe-12.


“Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Nanta yang juga MP Kapit mengulas pembentangan RMKe-12 di sidang Parlimen oleh Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menerusi pembentangan itu, tambah Nanta, kerajaan juga akan menambah baik bekalan elektrik dan loji janakuasa baharu turut akan dibina.

Katanya, projek pembinaan empangan hidroelektrik di Baleh, Sarawak dijangka siap pada tahun 2025.

“Kami gembira melihat RMKe-12 kali ini jelas menunjukkan hasrat kerajaan untuk membangunkan serta merapatkan jurang sosioekonomi serta pendidikan di Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Melalui rancangan ini, Bumiputera Sabah dan Sarawak termasuk Dayak akan mendapat tumpuan lebih besar dan diberi akses kepada pembangunan yang seimbang.

“Perdana Menteri jelas menyebut, satu daripada sembilan fokus utama dalam RMKe-12 menyentuh dua negeri ini iaitu ‘Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun’,” ujar Nanta.

Tambah beliau lagi, antara yang disebut adalah komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan serta keselamatan.

“Selain itu, antara yang penting adalah pembinaan jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo,” ujar Nanta. — DayakDaily