KUCHING, 15 Jun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan bekalan untuk pasaran dan rangkaian pasar tertentu yang melibatkan pembekalan
sayur dari Cameron Highlands.
Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia mengakibatkan wujudnya laporan media tempatan dengan kenaikan harga sayur sehingga 40 peratus.
“Ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Cameron Highlands yang melibatkan kawasan pertanian seluas 1,500 ekar seperti yang diumumkan pada 12 Jun yang lalu.
“Pihak KPDNHEP tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan bekalan untuk pasaran dan rangkaian pasar tertentu yang melibatkan pembekalan sayur dari Cameron Highlands,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta menjawab laporan akhbar Sinar Harian yang bertajuk ‘Harga sayur-sayuran naik hingga 40 peratus’ dan The Malay Mail ‘Vegetable prices up between 30 and 40pc following EMCO in Cameron Highlands’.
Justeru tambah Nanta, semua bahagian di bawah Kementerian untuk mengambil langkah perlu bagi memastikan pelaksanaan PKPD itu hanya memberi impak minima serta sementara.
Katanya, ia dijangka tidak menggangu bekalan dan sekaligus harga barang keperluan terutama sayur-sayuran dari kawasan tersebut.
“Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDNHEP telah menjalankan analisa dan mendapati berdasarkan data harga pada 13 Jun 2021, perubahan harga purata harian sayuran yang dilaporkan dalam akhbar tersebut seperti tomato, timun, kubis, kacang buncis berbanding 12 Jun menunjukkan penurunan.
“Kenaikan harga sayur sedikit dicatatkan bagi timun dan capsicum hijau,” ujar Nanta.
Menurut beliau lagi, sayuran seperti timun Jepun dan daun salad tidak dipantau oleh Kementerian kerana dikategorikan sebagai barangan bukan keperluan asas pengguna.
Dalam pada itu, Nanta berkata kementerian melalui penguat kuasa di seluruh negara khususnya di Negeri Pahang dan Perak akan memantau secara berterusan kedudukan bekalan dan harga bagi jenis-jenis sayur
tertentu yang biasanya dibekalkan oleh pekebun-pekebun dari Cameron Highlands itu.
“KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak ke paras yang tidak munasabah.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama di dalam situasi semasa ketika ini,” katanya.— DayakDaily