Nanta luluskan peruntukan RM105 ribu bina rumah panjang baharu Emperan Pedalai Mansau

Nanta menuang air tuak sebagai simbolik berkat tapak rumah panjang Baharu Emperan Pedalai Mansau, Ibau, Kapit.

KAPIT, 20 Dis: Peruntukan sebanyak RM105,000 diberikan kepada 21 keluarga di Emperan Pedalai Mansau, Ibau di sini bagi tujuan membina sebuah rumah panjang baharu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan tersebut merupakan tambahan kepeda peruntukan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit bagi tujuan sama.

Belia yang juga Ahli Parlimen Kapit menyifat keputusan 21 keluarga tersebut untuk membina rumah panjang di kawasan tersebut suatu keputusan yang bijak memandang ia mempunyai potensi ekonomi di masa hadapan.

Ini kerana selain mempunyai akses jalan perhubungan yang baik, kawasan tersebut yang dikelilingi sumber flora dan fauna mempunyai potensi luas untuk dijadikan produk eko-pelancongan.

“Tempat ini amat sesuai untuk prospek eko-pelancongan sebagai salah satu cara penduduk di sini untuk memajukan keadaan sosio-ekonomi mereka dan saya amat menerima baik cadangan tersebut.

“Kita akan bantu mereka dari segi penyediaan jalan perhubungan, promosi produk serta aspek keselamatan pelancong atau pengunjung,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak baharu rumah panjang terbabit di sini hari ini.

Kelihatan Nanta (depan, lima dari kiri) melawat tapak rumah panjang baharu Emperan Pedalai Mansau, Ibau, Kapit.

Nanta berkata, penyambungan bekalan utili ke rumah panjang tersebut akan dilakukan secara berperingkat selepas rumah panjang tersebut siap sepenuhnya.

“Untuk bekalan elektrik, tidak menjadi masalah kerana kita boleh sambung terus daripada sistem grid sedia ada.

“Bagaimanapun untuk bekalan air, perkara itu sememangnya dalam perancangan kita kerana saluran paip besar daripada Kapit belum lagi sampai ke kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah sementara, penduduk di Emperan Pedalai Mansau itu akan menggunakan bekalan air dari sungai terdekat sebagai sumber air bersih mereka.

Sementara itu, Tuai Rumah Emperan Pedalai Mansau, Josceline Lia Endau berkata, rumah panjang yang bakal dibina itu akan menerapkan konsep rumah panjang tradisional kaum Iban yang akan mempamerkan konsep budaya kaum itu.

Tr Josceline Lia Endau

“Kita nak buat rumah panjang jadi seperti sebuah inap desa yang menampilkan konsep rumah panjang tradisional kaum Iban supaya apabila pelancong datang mereka boleh memahami dan mempelajari kebudayaan Iban.

“Kita merancang untuk meletak dan menghias rumah panjang ini nanti sama seperti rumah panjang pada zaman dahulu dengan produk tradisional Iban seperti manik, pua kumbu, lesung padi dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, pada ketika ini, penduduk rumah panjang terbabit dalam usaha mengumpulkan semua barangan dan produk tersebut untuk di simpan dirumah tersebut kelak.

Pada masa sama, belia berharap usaha tersebut mendapat bantuan dan perhatian pihak berwajib agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar. — DayakDaily