Nanta: Harga barang di Sabah dan Sarawak diseragam

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 18 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha memastikan program penyeragaman harga barang di Sabah dan Sarawak dilaksanakan dengan berkesan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan RM40 juta dalam Belanjawan 2021 berbanding RM20 juta tahun sebelumnya harus memberi manfaat kepada rakyat.

Jelas Nanta, terdapat beberapa faktor dikenalpasti mempengaruhi perbezaan harga barang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.


“Antaranya ialah kos logistik yang tinggi, saiz pasaran kecil selain e-dagang masih belum berkembang sepenuhnya dan polisi ‘local first’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual khas Agenda Awani “Covid-19: Belanjawan 2021 Dan Cabaran Mengurus Impak Pandemik” yang disiarkan melalui Saluran 501 Astro Awani, malam tadi.

Tambah Nanta, kementeriannya kini dalam proses menyediakan satu nota makluman kepada Jemaah Menteri mengenai isu ketidakseragaman harga barang di Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung.

Katanya, ia bagi membantu merangka mekanisme penyelesaian yang perlu.

“Ini termasuk memperkasakan Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (‘Port-to-Port’) serta Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan ‘Community Drumming’ dengan memanfaatkan peruntukan di bawah Belanjawan 2021,” katanya.

Menurut Nanta, kerajaan turut menanggung kos pengangkutan dari pembekal ke kawasan pedalaman terpilih untuk tujuh barangan keperluan bersudsidi.

Barangan tersebut adalah seperti gula putih bertapis kasar, tepung gandum kegunaan am, minyak masak sawit tulen, beras putih, gas petroleum cecair, petrol RON95 dan diesel bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk di kawasan terbabit.

Dalam pada itu Nanta yang juga MP Kapit berkata, KPDNHEP terus memperkasakan operasi pemantauan dan penguatkuasaannya dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat.

Ujar beliau lagi, terdapat dua isu utama yang menimbulkan keresahan kepada pengguna iaitu membabitkan faktor bekalan dan harga barangan keperluan di pasaran.

“Tindakan itu bagi mengelak berlakunya pembelian panik kerana rakyat yakin bekalan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi di pasaran, selain boleh diperoleh pada harga berpatutan dan tidak membebankan.

“Ia juga bagi memastikan golongan peniaga sentiasa mematuhi peraturan serta tidak mengambil kesempatan dalam keadaan sukar ketika ini sehingga boleh menjejaskan usaha kerajaan memulihkan ekonomi domestik negara,” katanya.

Sepanjang 18 Mac–10 Nov 2020, sejumlah 476,912 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,684 kertas siasatan dibuka mengikut pelbagai akta di bawah KPDNHEP membabitkan nilai rampasan lebih RM60 juta.

“Sejak bermulanya pelaksanaan PKP, sebanyak 3,434 kes sudah dikompaun membabitkan nilai keseluruhan membabitkan RM1.5 juta.

“Ada satu kes penjualan topeng muka pada harga RM11 sekeping yang disifatkan terlalu tinggi dan seolah-olah cuba mengambil kesempatan.

“Ini sudah disabitkan kesalahan dan didenda RM200,000 sangat tidak berbaloi. Ia isyarat jelas bahawa kita tidak boleh berkompromi dalam hal sebegini,” ujar Nanta. — DayakDaily