Nanta: Caj tambahan gunting rambut tidak boleh sehingga RM10

Datuk Alexander Nanta Linggi

KUCHING, Jun 7: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan bahawa kadar baharu harga gunting rambut mestilah sejajar dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh pekedai.

Menurut menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, hanya kos barangan yang terlibat sahaja yang boleh dicaj kepada pelanggan selain daripada kos asal upah upah gunting.

“Sebagai contoh, sekiranya proses menggunting rambut hanya melibatkan penggunaan pemakaian pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan baru dan cecair sanitasi tangan maka hanya kos barangan yang terlibat ini sahaja yang boleh dicaj kepada pelanggan selain daripada kos asal upah upah gunting.


“Dengan andaian barangan tambahan yang terlibat adalah apron plastik penutup badan pengguna berharga RM3, kos sarung tangan RM0.50 dan cecair sanitasi tangan RM0.30, maka jumlah kos tambahan yang boleh dikenakan adalah sebanyak RM3.80 sahaja.

“Pengusaha kedai gunting rambut tidak boleh mengenakan caj tambahan sehingga RM10,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Operasi perniagaan gunting dan pendandan rambut serta salon kecantikan masih tertakluk kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah ditetapkan.

Ia merangkumi pemakaian pelitup muka dan apron pakai buang oleh pekerja, pemakaian satu set sarung tangan dan apron pakai buang bagi setiap pelanggan dan jarak dua meter antara kerusi tukang gunting.

Nanta mengulas berhubung kenaikan caj pemotongan dan dandanan rambut di antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan yang telah disuarakan oleh wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar premis-premis gunting rambut dan kecantikan mempamerkan senarai harga setiap barangan tambahan serta caj servis pemotongan rambut.

Katanya dengan adanya senarai harga ini, pelanggan dapat menyemak harga lebih awal dan mengelakkan kekeliruan.

Berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan dilaksanakan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini, Nanta percaya ia membantu usaha semua pihak dalam memulihkan sektor ekonomi negara yang lumpuh akibat penularan wabak Covid-19

“Dengan pelaksanaan PKPP, kita bakal menyaksikan banyak sektor ekonomi akan dibuka semula secara berperingkat.

“Ini termasuklah perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandan rambut dan salon kecantikan yang telah lama dinantikan oleh pelbagai pihak,” ujar beliau.

Menurut Nanta lagi, perniagaan gunting rambut adalah merupakan salah satu sub sektor dibawah Industri Dandanan Rambut dan Salon Kecantikan yang menyumbang sekitar RM13.5 billion setahun kepada Keluaran Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan 74,500 tenaga kerja dari 160,728 perniagaan berdaftar. — DayakDaily