Nanta: Bayaran SST Petronas bakal merancakkan pembangunan infrastruktur Sarawak

Nanta (duduk tiga dari kanan) merakamkan kenangan bersama penerima bantuan MRP di Kapit.

Oleh Chris Bishop

KAPIT, 18 Sept: MP Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi yakin program pembangunan infrastruktur asas di Sarawak akan lebih rancak dilaksanakan melalui peruntukan daripada bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM2.956 bilion oleh Petronas semalam.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata pendapatan tambahan ini akan memberi impak yang besar khususnya di kawasan luar bandar.


“Dana dengan jumlah yang besar ini akan digunakan untuk membangunkan Sarawak.

“Khususnya untuk membangunkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Kapit hari ini.

Nanta (tengah) pada sidang media di Pejabat Daerah Kapit hari ini (18 Sept, 2020).

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM476,700 kepada 37 penerima.

Menurut Nanta, perhubungan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kini adalah erat dan ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Terima kasih kepada Petronas kerana menepati janji, setelah sekian lama melalui proses rundingan.

“Akhirnya, bayaran ini disampaikan kepada Sarawak,” ujar beliau.

Tambah Nanta, bayaran yang diterima Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam merupakan SST untuk 2019.

Justeru katanya, Sarawak akan terus memperolehi bayaran SST daripada Petronas untuk tahun-tahun mendatang.

Semalam, Petronas membayar Cukai SST bagi produk petroleum berjumlah RM2,956,671,407.36 kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Bermula 1 Januari 2019, Kerajaan Sarawak mengenakan SST lima peratus terhadap produk petroleum seperti termaktub dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.-DayakDaily.