Nancy harap PM baharu laksanakan tanggungjawab dengan baik

Nancy meninggalkan bangunan pejabatnya di Putrajaya hari ini (16 Ogos, 2021).
Advertisement

KUCHING, 16 Ogos: Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Dato Sri Nancy Shukri berharap perdana menteri yang baharu nanti dapat menerajui pentadbiran Malaysia selepas ini dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Nancy yang meletak jawatan hari ini ekoran peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri mendoakan yang terbaik buat rakyat dan negara ini.

Beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas segala kekurangan sepanjang beliau berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Advertisement

“Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk memberi khidmat bakti kepada negara.

“Insya Allah, saya percaya Allah mempunyai perancangan yang terbaik untuk Malaysia dan seluruh rakyat di negara ini. Kita doakan yang terbaik.

“Semoga siapa jua yang akan dipilih dan diamanahkan menerajui pentadbiran Malaysia selepas ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy, yang juga MP Batang Sadong, turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tugas sebagai menteri.

Sebagai Ahli Jemaah Menteri katanya, Nancy telah berpeluang bekerja rapat dengan Muhyiddin dan dapat melihat dengan lebih dekat komitmen serta usaha yang telah diberikan oleh semua rakan Jemaah Menteri di bawah kepimpinan beliau.

Ujar beliau, ini khususnya semasa berdepan dengan cabaran mentadbir dan menguruskan negara di tengah-tengah penularan wabak Covid-19.

Dalam kenyataan itu, Nancy juga berterima kasih kerana permintaannya untuk membantu penggiat industri pelancongan, seni dan budaya tempatan mengharungi situasi sukar sepanjang lebih setahun ini tidak diabaikan oleh Muhyiddin.

“Ini termasuklah pemberian bantuan dan insentif kepada penggiat industri pelancongan dan kebudayaan sehinggalah kepada kebenaran aktiviti pelancongan dalam negeri.

“Ia melibatkan hotel dan homestay kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap sebagaimana yang telah diumumkan baru-baru ini,” kata Nancy.

Malah tambah beliau lagi, perancangan Motac untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan juga mendapat sokongan Muhyiddin. — DayakDaily

Advertisement