Naik taraf jalan ke Lapangan Terbang Long Akah dalam perancangan — Adun Telang Usan

Dennis ketika ditemui di Miri Isnin lepas (27 Mac 2023).

MIRI, 29 Mac: Perancangan telah diatur untuk menaik taraf jalan dari persimpangan Long San ke Lapangan Terbang Long Akah di Ulu Baram.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan Dennis Ngau, ia perlu dilakukan memandangkan keadaan jalan tersebut kini sudah rosak.

“Ia memang ada dalam perancangan kita, tapi kerja naik taraf ini perlu melalui beberapa proses.


“Perbincangan antara agensi terlibat harus diadakan dahulu–kadang-kadang mengambil masa,” katanya ketika ditemui DayakDaily pada Isnin (Mac 27) lepas.

Jalan dari Simpang Long San ke Lapangan Terbang Long Akah di Ulu Baram.

Jelas Dennis yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), kerja mengenal pasti tanah merupakan komponen penting dalam pembinaan jalan.

Namun ujarnya, Sarawak menghadapi kekurangan syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Sarawak ada banyak projek. Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Tanah Dan Survey juga terlibat.

“Oleh itu, kebanyakannya projek tidak dapat dilaksanakan serta merta. Namun demikian rakyat di Ulu Baram memahami semua ini,” kata Dennis.

Syarikat penerbangan MASwings menyediakan perkhidmatan penerbangan dari Miri Ke Long Akah sebanyak tiga kali seminggu.

Penerbangan selama 40 minit itu dijadualkan pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Dennis yakin penerbangan tersebut mampu membawa lebih ramai lagi pelancong atau pengunjung ke Ulu Baram.

Kawasan Ulu Baram menyediakan suasana eko pelancongan dengan tanah tinggi yang masih hijau dengan hutan dan air terjun yang menarik. — DayakDaily