SK Long Lenei, Baram ditutup akibat banjir

Keadaan sekolah yang dinaiki air banjir.

KUCHING, Jan 5: Sebuah sekolah rendah di Baram ditutup akibat kawasan sekolah tersebut dinaiki air banjir susulan hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam.

Sekolah yang ditutup tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lenei.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, penutupan sekolah itu melibatkan seramai 44 murid, 11 guru dan lapan staf sokongan.


Keadaan sekolah yang dinaiki air banjir.

Katanya, setakat pukul 7 pagi ini, kawasan sekolah terbabit telah dinaiki air sedalam kira-kira 0.7 meter.

“Bagaimanapun, tiada sebarang pemindahan dilakukan buat masa ini dan murid-murid telah balik ke asrama dan kampung masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JPBNS memberitahu, keadaan banjir dijangka surut pada lewat petang ini berikutan cuaca cerah kini. — DayakDaily