KUCHING, Jun 9: Seramai 10 orang termasuk tiga pemandu berdepan detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Lapangan Terbang di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.17 malam itu melibatkan kereta jenis Proton Saga, Honda Civic dan Honda Accord.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Jemiran Kemis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.18 malam.
Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat tiga kereta terlibat dalam kemalangan itu.
“Lima mangsa dalam Proton Saga, tiga mangsa dalam Honda Civic dan dua mangsa dalam Honda Accord pula didapati berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jemiran menambah, pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, sebelum itu, berdasarkan keterangan saksi, kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila salah sebuah kenderaan berkenaan gagal mematuhi lampu isyarat di situ hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Turut berada di lokasi kejadian ialah pasukan polis dan petugas perubatan.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.06 tengah malam selepas keadaan di lokasi kemalangan terkawal,” ujarnya. — DayakDaily