BALAI RINGIN, Jan 11: Satu kejadian kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Kampung Telagus di sini petang tadi telah mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk.
Kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira hampir dua jam.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, namun tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat nahas tersebut.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 2.13 petang.
Katanya, 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dan Serian kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan empat buah kenderaan iaitu Mitsubihi Triton, Perodua Axia, Toyota Hilux dan Toyota Fortuner.
“Bagaimanapun, kesemua penumpang termasuk pemandu tiga buah kenderaan lain berjaya keluar sendiri, cuma tiga mangsa yang menaiki Perodua Axia masih berada di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, selepas berjaya mengeluarkan ketiga-tiga mangsa, mereka kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.
“Keadaan lalu lintas kembali lancar selepas keempat-empat kenderaan dialihkan,” katanya lagi. — DayakDaily