Nahas dua kereta bertembung, seorang maut manakala lima parah

Keadaan di tempat kejadian kemalangan membabitkan dua kereta yang meragut satu nyawa.
Advertisement

SIMUNJAN, Feb 15: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut, manakala lima lagi cedera parah selepas terbabit dalam nahas melibatkan dua buah kenderaan di KM105, Jalan Kuching-Sri Aman di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Willie Dau, 23, dari Rumah Minis, Sungai Munus, Entabai, Pakan maut di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Axia dah Proton Saga BLM.

Advertisement

Menurut beliau, sebelum kejadian, Perodua Axia yang dipandu mangsa bersama dua penumpang dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kuching ke arah Sri Aman.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, Perodua Axia yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Saga BLM.

“Kesan perlanggaran kuat itu mengakibatkan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, seorang bayi perempuan yang berusia sembilan bulan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat, begitu juga dengan lima mangsa yang parah dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily

Advertisement