Enam beranak diikat perompak dalam kes samun

Anggota polis melakukan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

SERIAN, Feb 15: Enam beranak berdepan detik cemas apabila mereka diikat dan dirompak dalam satu kejadian samun di Kampung Munggu Limo di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu mengakibatkan keluarga tersebut mengalami kerugian kira-kira RM20,000.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di sebuah rumah yang dimiliki seorang peniaga di kampung berkenaan.


Katanya, berdasarkan maklumat daripada pengadu, kediaman mereka telah diceroboh oleh empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

“Pengadu mendakwa keempat-empat suspek merupakan warga Indonesia melalui dialek percakapan Indonesia.

“Mangsa seramai enam orang telah diikat dengan menggunakan kain. Namun, kesemua mangsa tidak dicederakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, setelah menggeledah rumah peniaga itu, kesemua suspek telah melarikan diri.

“Buat masa ini, kes masih dalam siasatan dan polis sedang memburu kesemua suspek,” katanya lagi. — DayakDaily