MPKS: Larangan pengunaan bekas styrofoam akan dikuatkuasakan tidak lama lagi

Makanan yang diisikan dalam bekas styrofoam.

KOTA SAMARAHAN, Feb 15: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) tidak lama lagi akan mula menguatkuasakan larangan pengunaan bekas styrofoam bagi membungkus makanan di kedai kopi, restoran pasaraya dan kedai sekitar Kota Samarahan.

Pengerusi MPKS, Datuk Peter Minos berkata pihaknya bimbang pengunaan bekas terbabit boleh menjejaskan kesihatan penduduk Kota Samarahan yang masih mengunakannya.

“Saya sudah melihat demonstrasi menunjukkan nasi panas boleh mencairkan bekas styrofoam. Bayangkan orang memakan nasi panas atau makanan panas lain yang dicemari styrofoam kerana bersikap tidak peduli,” katanya dalam satu kenyataan media.


Peter berkata banyak negara lain juga sudah mengharamkan pengunaan bekas styrofoam dan plastik bagi membungkus makanan yang kedua-duanya merupakan produk dihasilkan dari minyak petroleum dan boleh menjejaskan tubuh badan.

“MPKS merasakan perlu bagi membantu mendidik dan memberikan amaran kepada orang ramai mengenai bahaya pengunaan bekas styrofoam dan plastik. Kami juga akan memastikan yang plastik tidak digunakan setiap Ahad (di Kota Samarahan),” katanya.

Sementara itu, mengenai penyakit anjing gila atau rabies, Peter berkata setakat ini hanya empat kes penyakit terbabit telah dilaporkan di Samarahan dan MPKS masih terus berusaha membanteras anjing liar yang boleh membawa penyakit itu dan haiwan terbabit yang tidak diberikan suntikan vaksin.

Beliau berharap pencinta anjing tidak menghalang usaha berkenaan yang perlu bagi membendung penularan penyakit rabies yang yang boleh menyebabkan kematian sekiranya penduduk digigit anjing yang dijangkiti rabies. — DayakDaily