KUCHING, 3 Jun: Seorang wanita dilaporkan cedera selepas kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, hari ini.
Sumber memberitahu kemalangan berlaku sekitar tengah hari tadi ketika ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar pesakit dari Sri Aman ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
Difahamkan wanita (mangsa) berusia sekitar 40an yang memandu Perodua Myvi semasa kejadian gagal memberhentikan keretanya lalu berlanggar dengan ambulans tersebut.
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan.
Manakala pesakit, dan dua lagi penumpang ambulans iaitu jururawat dan pembantu pegawai kesihatan serta pemandu ambulans dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Siasatan lanjut polis berhuhung kemalangan tersebut masih giat dijalankan. — DayakDaily