SAMARAHAN, 16 Ogos: Musim durian sudah kembali melanda di negeri ini dan jualan buah terbabit diawal musimnya adalah amat laris kepada orang ramai walaupun harganya masih tinggi sehingga mencecah RM35 sebiji.
Ini diakui peniaga durian, Norifshan Asril, 17, dari Kampung Iboi, Sadong Jaya dengan gerai duriannya antara terawal dibuka di hadapan pasaraya Aiman Mall, di sini, sejak seminggu yang lalu dan menerima ramai pelanggan.
“Gerai kami yang dibuka jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari akan mampu menjual habis purata sehingga 200 biji durian sehari dan ini sejak seminggu ini kerana permintaan tinggi dari pelanggan,” katanya yang membuka gerai terbabit bersama rakannya hari ini.
Norifshan berkata harga buah itu dijual gerainya adalah dari RM8 sehingga RM35 sebiji mengikut saiznya dengan bekalan buah terbabit diperolehinya dari kawasan kampung sekitar Taie dan Mongkos yang ada pokok durian di kawasan berbukit.
“Biasanya bekalan buah durian dari kawasan terbabit di awal musimnya tidak banyak yang rosak berbanding dihujung musim. Harga buah ini juga biasanya akan menurun di hujung musim kerana bekalan lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata gerainya bagaimanapun tidak menjual buah durian jenis musang king tetapi pelbagai jenis durian biasa lain.— DayakDaily