Murid SK Buso mendapat perahu baharu untuk pergi ke sekolah

Henry (dua dari kiri) menyerahkan perahu kepada Hafiz sambil disaksikan murid-murid dan ibu bapa mereka.

KUCHING, Jun 28: Seramai 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Buso dari Kampung Melayu Seberang Buso kini teruja untuk pergi sekolah menaiki perahu baharu, yang disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep semalam.

Perahu adalah satu-satunya pengangkutan bagi murid-murid tersebut untuk pergi ke sekolah yang terletak di seberang kampung mereka, yang dipisahkan oleh Sungai Sarawak Kanan.

“Saya berharap perahu ini akan memberi semangat, keselesaan dan menjamin keselamatan murid-murid dari Kampung Melayu Seberang Buso untuk pergi ke sekolah,” katanya ketika menyerahkan perahu tersebut kepada Ketua Kampung Melayu Seberang Buso, Hafiz Jek Abdullah.


Bagaimanapun, Henry berkata kebergantungan terhadap perahu untuk anak-anak Kampung Melayu Seberang Buso pergi ke sekolah perlu dihentikan, terutama bagi keselamatan mereka.

Justeru, beliau berkata telah memohon kepada kerajaan negeri untuk membina sebuah jambatan menghubungkan kampung tersebut dengan seberang Buso dan ia telah pun mendapat kelulusan.

“Ia sekarang dalam proses untuk penyediaan pelan dan sebut harga oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Dengan adanya jambatan ini nanti, ia bukan sahaja boleh digunakan oleh murid-murid sekolah tetapi juga semua penduduk kampung tanpa perlu menggunakan perahu lagi,” katanya.

Selama ini, murid-murid dari Kampung Melayu Seberang Buso perlu menaiki perahu tambang untuk ke bersekolah ke SK Buso dengan kadar tambang 50 sen seorang.

Namun demikian, perahu penambang yang digunakan itu kini sudah uzur dan tidak dapat digunakan lagi. — DayakDaily