Bomba berjaya pujuk wanita daripada cuba bunuh diri

Anggota bomba memberi nasihat kepada seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun dari bangunan di Metro City, Matang.

KUCHING, Jun 28: Pasukan bomba berjaya menyelamat seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun dari sebuah bangunan di Metro City, Matang di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Muhammad Mirza Dzalmira Miraj berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.07 petang.

Katanya, sepasukan sembilan pasukan bomba kemudian diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan khidmat khas menyelamat wanita berusia 18 tahun itu.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat seorang wanita cuba terjun dari tingkat dua di sebuah bangunan di situ.

“Bagaimanapun, berkat kesabaran dan pujukan akhirnya berhasil apabila wanita berkenaan tidak meneruskan niat untuk bunuh diri,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Mirza menambah, suami mangsa juga berada di lokasi kejadian dan turut membantu pihak bomba memujuk isterinya.

Katanya, mangsa kemudian diberi pemeriksaan kesihatan dan juga diberi nasihat berkaitan dengan tindakannya sebelum diserahkan kepada suaminya.

“Operasi khas itu tamat sebaik menyerahkan wanita berkenaan kepada suaminya,” katanya. — DayakDaily