Mukah inspirasi belia pintar dan celik ekonomi digital

Pusat Belia Mukah yang terletak di Jalan Kubu 2.

SIAPA sangka, siapa menduga, bermula daripada sebuah kawasan kecil yang mana penduduknya hanya bergantung kepada hasil laut dan pertanian, kini Mukah telah mengalami pembangunan yang begitu pesat.

Sejak diiktiraf sebagai bahagian ke sepuluh di Sarawak pada 1 Mac 2002, perkembangan dari segi infrastruktur dan kemudahan asas di Mukah kini dilihat seiring.

Banyak pusat pendidikan juga telah dibuka seperti Politeknik Kolej Mara, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pusat Pembangunan Belia dan Kolej Laila Taib untuk memberi peluang kepada golongan muda melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.


Inisiatif Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) di wilayah tengah negeri juga akan merancakkan pembangunan ekonomi dan mewujudkan  permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran pada masa kini.

Belia Mukah, belia aktif:

Baru-baru ini, Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak telah berpeluang mengadakan pameran bersempena “Hari Bersama Belia Mukah dalam Ekonomi Digital” anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Sarawak Multimedia Authority (SMA) pada 10 Okt untuk mendekatkan fahaman ekonomi digital.

Program satu hari ini dilihat relevan dengan golongan belia, yang akan membentuk Sarawak pada masa hadapan dan sekaligus membawa hala tuju negeri ke tahap yang lebih maju dari pelbagai aspek.

Royston (kanan) ketika ditemubual.

Royston Valentine, 32, menyifatkan belia di Mukah sebagai satu keluarga diantara satu sama lain. Kerjasama dan tolak ansur sesama mereka menjadi penanda aras kepada imej Mukah hari ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman sebagai seorang ahli Parlimen Belia bagi sesi 2014-2016, bertekad untuk menyumbang kepada komuniti khususnya di bahagian Mukah terutamanya dalam perlaksanaan aktiviti daripada pelbagai agensi tidak kira kerajaan mahupun swasta serta NGO yang memerlukan tenaga muda untuk mencurahkan bakti kepada pembangunan Sarawak.

Ayah kepada dua orang anak ini tidak pernah berasa menyesal dan ralat untuk mencari dan mengumpul belia mukah dalam menjalankan aktivti kesukarelaan. Bagi beliau, usaha yang lakukan hari ini adalah untuk kemajuan Mukah.

Anak muda berketurunan Melanau yang pernah memenangi Anugerah Belia Negeri Sarawak 2017 serta Anugerah Perdana Belia Negara (Negeri Sarawak) 2018 masih merasa sumbangan beliau kepada pembangunan Mukah masih belum mencukupi.

Beliau inigin terus berusaha untuk memantapkan lagi potensi belia bahagian ini agar mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti belia di kawasan lain.

Pusat transformasi luar bandar Mukah: 

Royston, dibantu oleh belia-belia yang lain, telah mendirikan Pusat Kegiatan Belia, Mukah, yang menempatkan para usahawan belia untuk menjalankan perniagaan mereka di bahagian ini. Antara kegiatan yang disediakan adalah pusat gunting rambut, tempat cuci kereta, pusat gim, butik baju dan banyak lagi.

“Idea ini tercetus dari belia sendiri, jadi pusat ini boleh kita lihat sebagai satu aliran pembangunan dari belia kepada komuniti,” menurutnya ketika di temuramah oleh AZAM.

Tambah beliau, pusat kegiatan belia juga menyediakan beberapa slot bilik yang dapat dijadikan pejabat bagi mereka yang ingin memulakan pernigaan dalam skala yang lebih besar. Namun ianya masih belum beroperasi disebabkan oleh kekangan bajet yang tidak mencukupi.

Gambar kenangan pegawai AZAM dengan para belia yang mengunjungi gim di pusat belia Mukah.

Pusat ini juga menjadi tumpuan golongan muda untuk untuk berekreasi dan bersukan kerana persekitarannya yang turut berhadapan dengan padang bola.

Pada sebelah malam pula, pusat kegiatan belia ini bertukar dari tempat yang hanya tertumpu kepada kaum belia kepada tempat tumpuan orang ramai apabila dijadikan pusat perniagaan makanan.

“Pergi sahaja ke Mukah, sudah pasti penduduk asli Mukah menyarankan kita untuk merasai keenakan makanan dan keriuhan suasana di Pusat Kegiatan Belia ini.

“Daripada masakan jenis goreng-goreng sehinggalah makanan laut bakar menjadi sajian lengkap mereka. Harga juga berpatutan.”

Para peniaga disini adalah merupakan ahli Rakan Niaga Belia, yang bertanggungjawab merancakkan tempat ini tanpa henti bermula jam 9 pagi sehingga 1 pagi.

Para belia Mukah yang aktif ini juga tidak tamak dengan keuntungan kerana bagi mereka, perkara paling penting adalah menjadikan bandar ini “hidup” pada sebelah malam seperti bandaraya Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, tambah beliau.

Selain daripada kelab usahawan, Mukah juga aktif dengan kelab-kelab lain.

Kelab bola sepak Mukah, yang dikenali sebagai Akademi Pembangunan Bola Sepak Setiaraja, mempunyai tiga kategori – bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun. Akademi Bola sepak ini dikendalikan oleh bekas pemain bola sepak Sarawak era 80-an, Jamal Wasli.

Mukah juga mempunyai kelab kesenian seperti Youth Art Club Mukah di bawah kendalian Lyona Stephen dan Hadzir Siri.

Kelab seni yang ditubuhkan pada bulan Februari tahun ini dengan ahli sebanyak 10 orang, fokus dalam bidang rekaan fesyen, muzik, tarian, fotografi dan seni rekaan rambut.

Pelbagai aktiviti untuk memperkasa kebolehan dan aktiviti ekonomi belia dijalankan di pusat belia.

“Penglibatan belia Mukah ini sangat memberangsangkan dari hari ke hari sehingga jumlah ahli kumpulan kami menjangkau lebih dari 50 orang pada masa sekarang,” kata Lyona ketika ditemubual.

Kelab ini juga telah menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan di Mukah antaranya Teluwaih Jinih 2018 yang merupakan program pencarian ‘Ratu Kaul’ bagi bahagian Mukah. Selain itu kelab ini juga pernah terlibat dengan program Lamin Dana Heritage Showcase termasuklah Mukah Got Talent.

Ekonomi digital dan cabaran di Mukah:

Menurut Hasiah Hanisah Hasmi, 24, perniagaan beliau menjadi lebih mudah dengan adanya media sosial sebagai medium penyampaian.

“Melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, jumlah pelanggan saya bertambah dari dulu yang hanya diketahui oleh penduduk Mukah, sehingga kini penduduk di sekitar Oya, Dalat, Balingian, Matu dan Daro,” kata beliau.

Pemilik Hanisah Henna Art itu bercita-cita untuk mengadaptasi sistem pembayaran “cashless” dalam perniagaannya pada masa hadapan sebagai tanda beliau mendukung aspirasi ekonomi digital.

Namun usaha tersebut akan dapat direalisasi dengan bantuan daripada pihak kerajaan melalui rangkaian internet yang kukuh di kawasan Mukah dan mampu untuk menyokong transaksi ini di kawasan berkenaan, katanya.

Sentuhan tatarias Hasiah Henna Art bersempena dengan Lamin Dana Showcase 2018

Aspirasi kerajaan dalam memperkenalkan ekonomi digital kepada seluruh warga Sarawak diterima baik oleh golongan belia, menurut ketua penerangan pemuda PBB Dalat Abdul Halim Hamdian.

“Justeru itu, saya menyeru kepada semua rakan-rakan pemuda Dalat untuk sentiasa bersedia dengan apa sahaja pembaharuan yang berlaku supaya mereka tidak terkejut dengan kepantasan pergerakan dunia teknologi ini.”

Abdul Halim juga berkata Dalat memerlukan rangkaian komunikasi yang lebih untuk menjalankan aktiviti ekonomi digital kerana rangkaian telekomunikasi yang ada kini adalah sangat terhad.

Tambah beliau, bagi kawasan yang lebih dalam seperti Kampung Tanam dan Kampung Medong yang kurang mendapat rangkaian “wireless” Internet telah menyebabkan belia-belia yang terlibat dengan perniagaan secara online pergi ke pekan Dalat untuk mendapatkan talian.

“Keadaan ini bukan sahaja membantutkan perniagaan mereka, malah menghilangkan minat mereka untuk melakukan aktiviti menggunakan rangkaian Internet,” ujat beliau. — DayakDaily