Muhyiddin: Permohonan BPN dilanjutkan sehingga 31 Mei

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Mei: Tempoh rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dilanjutkan sehingga 31 Mei, 2020.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perlanjutan tempoh itu telah mendapat persetujuan Menteri Kewangan.


Menurutnya, perkara tersebut mengambil kira rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab.

“Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap. Ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan.

“Tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan. Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar.

“Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak. Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak,’katanya pada Perutusan Khas dari Putrajaya hari ini.

Jelas Muhyiddin, selain menghantar emel, para pemohon yang mana permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter LHDN untuk membuat rayuan bermula hari Isnin, 11 Mei.

Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, katanya, kaunter LHDN dibuka pada hari Selasa (12 Mei).

“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, boleh diluluskan,” ujar Muhyiddin.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN.

Ini termasuk permohonan baharu dan rayuan, yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 billion.

Dengan kelulusan tersebut kata Muhyiddin, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 billion. — DayakDaily