Muhyiddin miliki iltizam bangunkan Sarawak, kata Ali

Ali (tengah) berbincang dengan Azmin (kiri) dan MP Puncak Borneo yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin (kanan) pada Majlis Kongres Negara.

KUCHING, 22 Ogos: MP Saratok Ali Biju menyifatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memiliki iltizam memastikan Sarawak tidak ketinggalan dalam arus pembangunan walaupun berlaku anjakan politik tanah air.

Katanya, Muhyiddin tetap memilih Menteri Kanan Kerja Raya dari kalangan pemimpin Sarawak dan meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo.

ā€œSebagai anak negeri dan wakil rakyat Bumi Kenyalang, saya juga meletakkan harapan besar agar pembangunan rangkaian jalan raya turut meliputi naik taraf jalan-jalan negeri.


ā€œIni melibatkan rangkaian jalan raya kampung ke kampung dan bandar ke bandar bagi memudahkan hubungan yang secara langsung akan merancakkan ekonomi tempatan,” kata Ali pada Majlis Kongres Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli menambah, Sarawak mampu menjadikan Malaysia sebagai negara serantau setelah Indonesia merancang untuk memindahkan pusat pemerintah dari Jakarta ke Kalimantan.

Pemindahan ibukota Republik Indonesia itu katanya bakal mewujudkan rangkaian hubungan darat antarabangsa melibatkan Sarawak.

ā€œIni mencetuskan ledakan ekonomi yang secara langsung bakal mewujudkan peluang-peluang pekerjaan buat anak negeri.

ā€œSaya yakin bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kanan Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah mempunyai rancangan strategik berhubung hal berkaitan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ali turut menyeru seluruh pendokong dan pejuang pejuang Keadilan untuk bersama-sama melaksanakan hijrah meninggalkan pemimpin yang rakus dan wadah politik yang tidak lagi mempunyai prinsip dan hala tuju yang jelas.

ā€œBerhijrahlah kita untuk bersama-sama General kita Azmin Ali dan Commander-In-Chief kita Muhyiddin Yassin.

ā€œKita ini bukan pengkhianat kepada rakyat, tetapi kita ini berhijrah demi kepentingan rakyat dan tanahair,” tegas Ali.

Menurut Ali lagi, wakil-wakil dari Sarawak dan Sabah membentuk blok politik yang dikenali sebagai G10 yang diketuai oleh Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Atas dasar kesepakatan, kita sedia menyertai Bersatu sebagai platform politik pelbagai kaum, kata Ali.-DayakDaily