Muhyiddin: Kebanyakan negeri dijangka ke Fasa 4 PPN seawal Okt

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUCHING, 26 Julai: Kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri dapat beralih ke Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal bulan Oktober nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berpandukan usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar.

Katanya, Fasa Keempat merupakan fasa terakhir yang selaras dengan kadar vaksinasi negara pada tahap 80 peratus penduduk dewasa dengan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi akan dibenarkan beroperasi dalam suasana norma baharu.


“Aktiviti pelancongan domestik, persembahan dengan penonton serta aktiviti sukan berkumpulan misalnya sudah boleh kembali dijalankan.

“Dari semasa ke semasa, Kerajaan akan terus memantau keadaan di setiap negeri dengan rapi termasuk mengambil langkah intervensi mengikut keperluan.

“Di samping itu, Kerajaan akan tetap melaksanakan penilaian risiko termasuk menilai kesediaan mana-mana negeri untuk beralih ke Fasa Kedua, Ketiga atau Keempat,” katanya pada penerangan PPN di Sidang Khas Parlimen hari ini.

Sehingga kini, lapan buah negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sudah beralih ke Fasa Kedua.

Menurut Muhyiddin, Kerajaan sudah memutuskan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama.

Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua.

Jelas beliau, ini kerana pendekatan PPN menekankan ‘exit strategy’ dan ‘no turning back’.

“Sekiranya berlakulah semula peningkatan kes di negeri tersebut, Kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah,” ujar beliau. — DayakDaily