MPP teruskan usaha baik pulih rumah menerusi PPRMS

Kelihatan Lo (lima dari kiri) menyaksikan penyerahan kunci kepada penerima bantuan di Kota Padawan hari ini (21 April 2021).
Advertisement

KUCHING, 21 April: MPP meneruskan usaha membantu golongan yang memerlukan bantuan membaik pulih rumah melalui Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Hari ini, pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang sekali lagi menyerahkan kunci kepada penerima bantuan di Batu 9, Jalan Penrissen setelah kerja-kerja baik pulih siap dilaksanakan.

“Setiap rumah akan diberikan peruntukan maksimum RM15,000 untuk membaik pulih bahagian atap, dinding, tingkap, tangga, bilik air serta siling.

Advertisement

“Kerja-kerja baik pulih ini juga dijayakan menerusi bantuan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kota Padawan,” katanya ketika ditemui semasa penyerahan kunci tersebut.

Menurut Lo yang juga ADUN Batu Kitang, rumah tersebut didiami empat orang sekeluarga termasuk dua yang merupakan orang kelainan upaya.

Melalui PPRMS di bawah inisiatif projek kecil luar bandar(MRP) katanya, kerajaan akan terus membantu dan menyediakan rumah yang selesa kepada penduduk di negeri ini.

Pada tahun ini, MPP merancang membaik pulih 44 rumah ketua isi rumah (KIR) miskin.

Manakala sejak 2016, sejumlah lebih 114 rumah KIR miskin dalam kawasan seliaan MPP telah dibaik pulih. — DayakDaily

Advertisement