PKPD Kg Batu Gong Lama ditamatkan, penduduk masih menunggu pelepasan dari KKM

Peter Rangkum Joshua

SERIAN, 21 April: Penduduk Kampung Batu Gong masih menunggu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk hadir memberikan surat pelepasan dan mengunting gelang kuarantin penduduk kampung tersebut.

Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hampir sebulan di kampung itu semalam (21 April) selepas tiada kes positif baharu dilaporkan di kampung berkenaan.

Pengerusi Pengurusan Bencana Kampung Batu Gong Peter Rangkum Joshua berkata, sehingga semalam, tiada terdapat bukti yang menunjukkan jangkitan Covid-19 masih menular di kawasan berkenaan.


“PKPD di Kampung Batu Gong Lama menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah dimatkan selepas jam 12.00 pagi tadi (21 April). Tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kampung ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Peter sepanjang tempoh PKPD tersebut, pihaknya mengamalkan sikap tidak pilih bulu dalam melakukan permohonan bantuan untuk sumbangan dan dalam pengagihan bantuan kepada penduduk kampung.

Beliau yang juga Setiausaha Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Batu Gong Lama turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada petugas barisan hadapan, penderma sumbangan bantuan bakul makanan dan bantuan lain tanpa mengira parti serta ideologi politik mereka.

“Sepanjang PKPD dilaksanakan di kampung ini, kita menerima sumbangan bakul makanan yang disumbangkan daripada pelbagai pihak antaranya daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), Pusat Khidmat Parlimen Puncak Borneo (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Puncak Borneo, Parti Sarawak Bersatu (PSB), kapitan, persatuan dan peniaga-peniaga kawasan Siburan, dan juga orang perseorangan,” katanya.

Jelas Peter, penghentian sebarang aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan pengumpulan orang ramai seperti aktiviti gotong-royong, mesyuarat dan sebagainya dilaksanakan sehingga negara serta Sarawak merekodkan sifar kes jangkitan Covid-19 bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada Pejabat Daerah Kecil Siburan demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk kampung,” katanya. — DayakDaily