MPP mohon dana sekurang-kurangnya RM60 juta daripada kerajaan persekutuan

Lo (tengah) pada sidang media di ibu pejabat MPP. Turut kelihatan Timbalan Pengerusi MPP, Datuk Ahmad Ibrahim (kanan).

KUCHING, Mei 24: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memerlukan dana pembangunan sekurang-kurangnya RM60 juta daripada kerajaan persekutuan untuk tahun ini.

Justeru, pengerusinya Lo Khere Chiang berkata MPP akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dana yang diperlukan itu, khususnya di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) dan Bekalan Pembangunan (BP).

Jelas beliau, dana tersebut amat diperlukan bagi membolehkan MPP melaksanakan projek terutama membabitkan kerja-kerja menaik taraf jalan dan sistem perparitan.


“Kalau kerajaan persekutuan dapat memberikan sekurang-kurangnya RM60 juta pada tahun ini, saya sudah cukup gembira,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPP, di sini.

Menurut Lo, pada tahun lepas MPP telah melaksanakan banyak projek dengan baik menggunakan dana sebanyak RM45 juta, yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sebelum ini.

Namun katanya, sebahagian besar daripada dana tersebut adalah menerusi kerajaan persekutuan.

Beliau berkata MPP memerlukan dana yang lebih banyak lagi pada tahun ini untuk memastikan projek-projek yang sudah dirancang dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Misalnya di Jalan Arang dan Capital Garden sahaja, kami memerlukan sebanyak RM100 juta untuk menaiktaraf jalan dan sistem perparitan kerana kawasan ini menghadapi masalah banjir kilat yang serius,” katanya. — DayakDaily