‘Pembinaan jejambat di bawah Pan Borneo dalam kawasan MPP tidak akan dihentikan’

Lo Khere Chiang

KUCHING, Mei 24: Pembinaan empat jejambat bernilai RM200 juta di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo yang dilaksanakan di dalam kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tidak akan dihentikan.

Menurut pengerusi MPP Lo Khere Chiang, pelaksanaan semua projek tersebut sedang berjalan dengan baik walaupun wujud spekulasi bahawa pembinaannya mungkin tergendala disebabkan oleh pertukaran kerajaan persekutuan, yang membiayai kos Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya yakin semua jejambat ini akan dibina sehingga siap. Ia tidak akan dihentikan kerana pembinaannya sedang berjalan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPP, di sini semalam.


Projek jejambat tersebut membabitkan persimpangan lampu isyarat di Batu 10, Batu 9, Batu 4 dan Batu 6 yang dijangka siap menjelang 2020 bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan berkenaan. — DayakDaily