MPP menjalankan Program Pengasingan Sisa di Pasar Basah Kota Sentosa

Lo (dua dari kanan) mengedarkan risalah mengenai Program Pengasingan Sisa kepada penjaja di Pasar Basah Kota Sentosa.
Advertisement

KUCHING, Jun 10: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kini menjalankan Projek Pengasingan Sisa di Pasar Basah Kota Sentosa, sebagai sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Tempatan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk memastikan kebersihan persekitaran terus terjamin.

Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata projek tersebut akan melibatkan semua penjaja berlesen di Pasar Basah Kota Sentosa, di mana mereka dikehendaki membuat pengasingan sisa buangan yang berbeza di dalam tong seperti sisa sayur, buah-buahan, daging, ikan termasuk kertas, bahan plastik, tin aluminium dan minyak masak terpakai.

“Ini adalah program kesedaran untuk memastikan semua penjaja bersama-sama aktif mengumpul serta membuang bahan biodegradasi dan kitar semula daripada pasar basah untuk dirawat, dikitar semula dan dikompos.

Advertisement

“Ini bagi memastikan kawasan pasar basah sentiasa bersih dan memanfaatkan komuniti penjaja serta orang ramai,” katanya selepas melancarkan Program Pengasingan Sisa di Pasar Basah Kota Sentosa di sini, semalam.

Untuk memastikan program tersebut berjalan lancar, MPP juga telah melantik Fly Technology Agriculture Sdn Bhd untuk mengendalikan program diberi nama ‘WormIngUp’ itu.

Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran dan memperkasakan penjaja untuk mengambil bahagian dalam pengasingan sisa di pasar basah termasuk meningkatkan kebersihan dan persekitaran pasar basah.

Selain itu adalah untuk mengenalpasti, menyukat serta mengkaji komponen-komponen sampah yang dihasilkan dari pasar basah serta mengurangkan sisa dari pasar basah melalui inisiatif hijau. — DayakDaily

Advertisement