MPOB: Denda, penggantungan lesen jika gagal mendapat pensijilan MSPO pada 1 Jan

Harvested oil palm fruits. — file pic

KUCHING, 5 Oktober: Kilang sawit dan kesemua estet yang melebihi 100 ekar yang gagal mendapat atau memulakan proses pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 1 Januari akan dikenakan tindakan denda atau penggantungan lesen.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), tindakan juga termasuk pembatalan lesen atau tidak diperbaharui langsung seperti termaktub di bawah peraturan 15 Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

Bagi pekebun kecil, pensijilan akan dilaksanakan di bawah Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC), iaitu melalui penubuhan koperasi yang diwujudkan oleh MPOB atau di bawah agensi milik kerajaan atau kerajaan negeri masing-masing.


“MSPO akan dilaksanakan secara mandatori bermula 1 Januari, 2020, selaras dengan pengumuman kerajaan pada 24 Februari, 2017.

“Pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO ini adalah bertujuan untuk meningkatkan imej minyak sawit negara dari perspektif kemampanan di samping memenuhi permintaan pasaran antarabangsa bagi minyak sawit yang disijilkan mulai tahun 2020.

“Perkara ini juga adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit mampan Malaysia di pasaran global,” kata MPOB dalam satu kenyataan media.

Sehingga 31 Ogos, keluasan tanaman kelapa sawit yang telah dipersijilkan adalah 2,956,925 hektar atau 50.6 peratus daripada jumlah keluasan 5.85 juta hektar, termasuk pekebun kecil.

Manakala bagi kategori kilang buah kelapa sawit, sebanyak 288 buah kilang atau 64.29 peratus daripada keseluruhan 448 buah kilang telah berjaya dipersijilkan.

“Dalam hal ini, kesemua pekebun kecil, estet dan kilang buah kelapa sawit yang masih belum memperoleh sijil MSPO atau memulakan proses persijilan adalah digesa segera mendapatkan pensijilan MSPO.”

Untuk memulakan proses pensijilan MSPO, pekebun kecil boleh hubungi Pusat Piawaian Kemampanan & Pensijilan MPOB, atau hubungi 03-89110179/0180/0182/0193.

Untuk Kategori Estet dan Kilang Buah Kelapa Sawit, pengusaha boleh hubungi Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) melalui talian 03-21810192 atau emel info@mpocc.gov.my.

MPOB berkata kerajaan telah memperuntukkan dana insentif MSPO bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak industri sawit dalam melaksanakan keperluan pensijilan MSPO.

“Sebagai makluman hanya mereka yang berjaya mendapatkan persijilan atau memulakan proses persijilan sebelum 1 Januari, 2020, sahaja yang layak menerima insentif ini.

“Mulai tahun 2020, semua kos persijilan perlu ditanggung sendiri tanpa insentif kerajaan,” jelas MPOB. — DayakDaily