MPOCC anjur siri jelajah ke-3 bengkel MSPO di Bintulu

Sebahagian peserta bengkel MPSO di Bintulu.

KUCHING, 7 Ogos: Seramai 58 peserta menghadiri bengkel dua hari Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di Bintulu yang berakhir hari ini.

Anjuran Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), bengkel tersebut merupakan siri jelajah yang ke-3 untuk negeri Sarawak selepas Kuching dan Sibu pada Jun dan Julai yang lepas.

Menurut kenyataan media MSPO hari ini, bengkel tersebut memberi tumpuan kepada syarikat peladangan sawit kecil dan sederhana di Sarawak yang bersaiz antara 40.46 dan 1,000 hektar.


“Ia penting dalam proses penyediaan pensijilan MSPO dan penyediaan perlaksanaan di ladang sawit mereka sebelum melalui proses audit MSPO,” tambah kenyataan tersebut.

Kerajaan sebelum ini pernah mengumumkan tempoh lanjutan insentif MSPO sehingga 31 Disember, 2019.

Menurut MSPO, syarikat perladangan sawit kecil dan sederhana bersaiz 40.46 ke 1,000 hektar layak mendapatkan 100 peratus insentif yuran audit dan 50 peratus kos penyediaan (tertakluk kepada terma dan syarat) yang ditanggung oleh kerajaan persekutuan dengan syarat mereka diaudit oleh Accreditation Bodies.

Pada masa yang sama, syarikat perladang juga boleh manfaat dari Insentif Cukai menurut Akta Cukai Pendapatan 1967.

Maklumat lanjut boleh layari www.mpocc.org.my atau hubungi MSPO outreach officer for Sarawak, Paren Nyawi, di 016-2592067. — DayakDaily