Covid-19: 1,229 kes baharu dengan 1,309 pulih dan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,229 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,227 kes tempatan dan dua kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 83,475 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 13,667 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 435 kes iaitu bersamaan 35.4 peratus daripada keseluruhan kes.

Ini diikuti oleh Sabah dengan sebanyak 333 kes (27.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan sebanyak 131 kes (10.7 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,309 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 69,393 kes atau 83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 115 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 415 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan tiga kes warganegara dan satu kes bukan warganegara.

“Selangor melaporkan dua kes kematian manakala Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan satu kes,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat enam kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Hujung Pasir di Labuan; Kluster Lestari di daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang di Selangor serta daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur; Kluster Desa Idaman di daerah Kulai di Johor; Kluster Tapak Bina Rimbun di daerah Seremban di Negeri Sembilan; Kluster Tanjung Suria di daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor; dan Kluster Kuala di daerah Kuantan di Pahang. — DayakDaily