MP Selangau sedia bantuan ‘one-off’ RM1,200 kepada pelajar IPT

Edwin (berdiri lima dari kiri) bersama penerima cek. Foto: Ukas

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 6 Mei: Bantuan diberikan kepada anak-anak dari kawasan Parlimen Selangau yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), MP Selangau Edwin Banta berkata, bantuan diberikan secara ‘one-off’.


“Agenda utama saya menjadi wakil rakyat adalah untuk memastikan anak-anak di kawasan Parlimen Selangau mendapat pendidikan yang terbaik dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Melalui pendidikan, suatu hari nanti mereka ini akan mampu mengubah nasib keluarga,” kata Edwin.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Taklimat Isu-isu Semasa di Rumah Maong Anggat di Selangau baru-baru ini.

Tambah Edwin, bidang pendidikan merupakan fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, tambah beliau, pembangunan ekonomi juga menjadi fokus utama di kawasan Selangau.

“Tanaman kelapa sawit dan kopi dilihat dapat mempertingkatkan pendapatan keluarga kerana tanaman ini mendatangkan hasil yang baik dan lebih senang diuruskan,” ujarnya.

Dalam program sama, Edwin turut menyampaikan cek kepada lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang bagi kawasan Selangau. — DayakDaily