MP Hulu Rajang: Serah kepada KM pilih calon DUN Baleh

Ugak merasmikan Perkhidmatan Jalur Lebat Wifi "Connect Me" di Rh Wong Insung di Pulau Won, Baleh.

Oleh Chris Bishop

KAPIT, 20 Nov: Ahli Parlimen (MP) Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong menyerahkan kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memilih calon bagi kerusi DUN Baleh.

Ini berikutan cerita-cerita politik yang mengaitkan beliau sebagai calon yang sesuai bagi kerusi tersebut setelah penyandang yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing meninggal dunia pada 31 Oktober lepas.


“Saya seorang ahli parlimen dan DUN Baleh adalah di bawah kawasan parlimen saya. Oleh itu saya kerap melawat ke rumah panjang bertemu dengan rakyat.

“Kebanyakan mereka cakap saya sesuai dan ini tidak pasti kerana saya percaya ia terserah kepada Ketua Menteri sebagai Pengerusi GPS untuk memilih calon bagi Dun Baleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai Majlis Perasmian Pejabat NIOSH Cawangan Kapit di Kapit Town Square hari ini.

Menurut Wilson yang juga Timbalan Pengerusi PRS Cawangan Baleh, sebagai ahli parlimen beliau akan memberi sokongan dan kerjasama kepada siapa sahaja calon yang dipilih nanti.

Katanya, ia bagi mempertahankan kerusi milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan meneruskan legasi mendiang Masing.

Namun jika dipilih sebagai calon kata Wilson, beliau bersedia untuk bertanding.

“Saya akan jalankan tanggungjawab tersebut sepertimana saya lakukan sebagai ahli parlimen.

“Saya sangat mengenali dan memahami mendiang Tan Sri Masing,” ujar beliau yang juga Pengerusi NIOSH.

Wilson menceritakan bagaimana hasrat mendiang(Masing) untuk melaksanakan projek jalan raya termasuk jalan sempadan, pos Kastam, Imigresen dan Kuarantin(CIQ) di Tapak Megah 2.

Katanya, beliau dan mendiang turut bersama bertemu dengan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memohon peruntukan untuk meneruskan Jalan Nanga Mujong ke Nanga Tiau.

“Selain itu, beliau memberitahu saya ketika bersama meninjau logjam menerusi helicopter tempoh hari untuk meneruskan projek jalan dari Rh Nyamuk ke Rh Garit di Nanga Kain,” kata Wilson.

Hari ini, Wilson turut merasmikan Perkhidmatan Jalur Lebat Wifi “Connect Me” di Rh Jimbun Ajai dan Rh Wong Insung di Pulau Won, Baleh. — DayakDaily