Nanta rasmi pembukaan pejabat NIOSH di Kapit

Nanta (empat dari kanan) merasmikan pejabat NIOSH cawangan Kapit.

KAPIT, 20 Nov: Pembukaan pejabat Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Kapit adalah selaras dengan falsafah Keluarga Malaysia.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ia mencerminkan komitmen kerajaan di mana tiada satu pun kumpulan masyarakat yang ditinggalkan.

Katanya, ia adalah amat bersejarah kerana merupakan pejabat pertama di kawasan pedalaman.


“Penduduk Sarawak termasuk masyarakat Kapit ini adalah Keluarga Malaysia yang mempunyai hak yang sama dengan mana-mana warganegara Malaysia,” katanya pada ucapan Perasmian Pejabat NIOSH Cawangan Kapit di Kapit Town Square hari ini.

Nanta yakin dan percaya cawangan tersebut akan memberikan banyak manfaat dan faedah kepada masyarakat setempat.

Justeru katanya, jabatan dan agensi kerajaan negeri di Kapit digesa untuk memberi sokongan kepada NIOSH.

Ini termasuk pihak berkuasa tempatan seperti majlis daerah dan pemimpin-pemimpin masyarakat di Kapit.

“Saya juga menyeru kepada semua syarikat perniagaan, majikan dan pekerja untuk datang dan mendapatkan perkhidmatan di NIOSH Kapit.

“Dapatkan maklumat, latihan dan khidmat nasihat dari NIOSH. Marilah bersama-sama kita memastikan tiada kemalangan atau penyakit pekerjaan di Kapit ini,” ujar Nanta yang juga MP Kapit.

Tambah Nanta, beliau menyokong Pengerusi Niosh yang juga MP Hulu Rejang Datuk Wilson Ugak Kumbong yang turut hadir untuk membawa agensi tersebut ke tahap yang lebih cemerlang.

Turut hadir penyandang ADUN Pelagus Wilson Nyabong dan Ketua Setiausaha(Dasar Dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Asli A,. Maniam. — DayakDaily