MOTS lancar Pelan Antirasuah Organisasi

Lee(tengah) pada Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Pengangkutan Sarawak di Kuching.

KUCHING, 31 MAC: Kementerian Pengangkutan Sarawak(MOTS) hari ini telah melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi(OACP 2021-2025) bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching(BCCK).

MOTS menerusi kenyataan berkata, pelan memberi fokus kepada empat bidang keutamaan iaitu pengurusan projek dan kajian penyelidikan, perolehan dan kewangan, tadbir urus awam dan pengurusan sumber manusia.

Ia juga merangkumi 4 strategi, 5 objektif strategik dan 48 pelan tindakan yang merangkumi 11 inisiatif jangka pendek dan 38 inisiatif jangka panjang.

“Dengan matlamat meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti dalam proses penyampaian perkhidmatan MOTS, pelan juga membantu menangani isu tadbir urus, integriti dan anti rasuah secara menyeluruh,’kata MOTS.

Menurut kenyataan itu, pelan ini penting bagi MOTS khususnya dalam memastikan pelaksanaan program, projek dan aktiviti-aktiviti pembangunan sektor pengangkutan dilaksanakan dengan telus dan memberi manfaat kepada golongan sasar.

Pelan Antirasuah Organisasi telah dilancarkan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin dan turut dihadiri Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.-DayakDaily