SERIAN, Mei 2: Malang menimpa seorang anggota polis selepas dia terkorban dalam satu kemalangan di KM2, Jalan Gedong-Serian di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggangi mangsa, Angat Dusi, 59, dan sebuah kereta Proton Saga.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di anggota badannya.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda seorang diri dikatakan dalam perjalanan menuju ke Gedong dari Serian.
“Namun, apabila tiba di satu kawasan selekoh di situ, motosikal mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang kebetulan bergerak di situ.
“Mangsa yang tercampak jatuh ke atas jalan raya telah mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Alexson memberitahu, pemandu serta soerang penumpang kereta berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah Alexson, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily