Lekas sabung ayam, 22 lelaki dicekup

Ayam sabung. Fail Foto

SARIKEI, Mei 2: Polis berjaya mencekup 22 individu yang disyaki terbabit dalam jenayah judi sabung ayam di Jalan Kwong Min-Minah di sini semalam.

Kesemua individu yang ditahan pada pukul 3.30 petang itu berumur antara 30 hingga 70 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, serbuan yang dilakukan adalah hasil maklumat awam dan risikan polis sebelum itu.

Jelas beliau, pasukan serbuan tersebut telah diketuai oleh Asp. Asisten Superintendan Rudy Garit dari JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Ketika serbuan itu, polis mengesan sekitar 50-60 lelaki sedang melihat kegiatan pertaruhan judi sambung ayam di situ.

“Apabila mereka menyedari kehadiran polis, kumpulan kaki judi berkenaan kemudian bertindak melarikan diri masuk ke kawasan hutan di situ,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Antara kaki judi yang diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti judi sabung ayam.

Sementara itu, Dev memberitahu, pihaknya hanya menangkap 22 orang lelaki manakala selebihnya berjaya melarikan diri.

Ujarnya, empat ekor ayam sabung yang masih hidup dan dua ekor lagi yang sudah mati telah dirampas sebagai bahan kes.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962,” ujarnya lagi. — DayakDaily