Motosikal langgar tiang lampu isyarat, lelaki maut di lokasi nahas

Motosikal mangsa yang merempuh tiang lampu isyarat and mayat mangsa di tempat kejadian.

KUCHING, Jan 27: Hilang kawalan lalu rempuh tiang lampu isyarat.

Itulah nasib malang yang menimpa seorang lelaki apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangi melanggar tiang lampu isyarat di Jalan Batu Kawa di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mengakibatkan mangsa, Luqman Hakim Jasman, 20, dari Kampung Bruit, Daro, meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah yang dialaminya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kesan rempuhan itu mengakibatkan mangsa cedera parah pada kepalanya.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan ketika memberi rawatan kecemasan kepada lelaki itu di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily