Motosikal langgar besi jambatan, anggota tentera maut

Keadaan kemalangan yang berlaku di Jambatan Sungai Kuali, Jalan Lundu-Sampadi.

LUNDU, Jan 27: Impak rempuhan sebuah motosikal ke atas penghadang besi jambatan telah mengakibatkan seorang anggota tentera maut dalam satu kemalangan di Jalan Lundu-Sampadi di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Shahridan Hassan, 25, yang berasal dari Rawang, Selangor disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepalanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu berlaku di Jambatan Sungai Kuali berhampiran Kampung Sungai Limo di sini.


Katanya, berdasarkan maklumat daripada rakan setugasnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 sedang menuju ke arah Dewan Felda Sampadi di sini.

“Namun, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh penghadang besi jambatan berkenaan.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Alexson memberitahu, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas tersebut.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lundu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily