KUCHING, 7 Jan: Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) menegaskan bahawa soal keselamatan dan kesihatan rakyat daripada jangkitan Covid-19 adalah keutamaan.
Namun jelas Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing, ia juga perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi yang turut menjadi kepentingan rakyat dan negara.
“Setakat ini kita masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.
“Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) secara khusus,” kata Tiong dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau.
Ujarnya lagi, Malaysia telah menerima kemasukan pengembara dari seluruh dunia lebih awal sebelum ini walaupun mereka datang dari negara yang memiliki rekod jangkitan Covid-19 yang tinggi.
Katanya, angka RM30 bilion yang dinyatakan sebelum ini adalah bagi menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi bagi sektor pelancongan yang secara khusus membabitkan negara China.
“Ini juga seiring dengan ramalan peningkatan pengembara China ke Malaysia dari 3 juta pada tahun 2019 kepada kira-kira 6 juta tahun ini,” katanya.
Tiong berkata, Malaysia tidak akan mengamalkan diskriminasi terhadap pengembara dari mana-mana negara sekalipun dari China.
Jelas beliau, ini untuk memelihara hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara luar khususnya rakan perdagangan. — DayakDaily