MIRI, Jun 3: Sebuah keluarga yang menetap di Rumah Panjang Ampit, Lambir di sini gempar apabila seekor monyet tiba-tiba memasuki rumah mereka dalam satu kejadian pada Jun 1 lalu.
Panik dengan kehadiran monyet itu, pemilik rumah berkenaan kemudian menghubungi Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri untuk menangkap haiwan tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.23 malam.
Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan tiga anggota APM diarahkan ke lokasi untuk menangkap monyet berkenaan.
“Skuad Charlie kemudian bergerak ke lokasi kes dengan kekuatan tiga anggota diketuai oleh Pbt. (Pa) Fildatul Akmar Juli.
“Apabila tiba di lokasi pada pukul 11.34 malam, Skuad Charlie terus berjumpa dengan pengadu bertanya lokasi keberadaan monyet yang dinyatakan.
“Anak pengadu merupakan wanita berumur 33 tahun kemudian memberitahu bahawa mereka terkejut dengan kehadiran seekor monyet yang masuk ke dalam salah sebuah bilik rumah mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Hazle menambah, Skuad Charlie terus masuk ke dalam bilik yang dinyatakan oleh pengadu dan ternyata terdapat seekor monyet di dalam bilik sedang berkeliaran untuk mencari jalan keluar.
Katanya, Skuad Charlie kemudian berjaya menangkap monyet tersebut menggunakan penjerut dan penyepit.
“Skuad Charlie kemudian mengikat kedua-dua tangan dan kaki monyet tersebut sebelum membawa haiwan itu ke PKOD untuk tindakan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily