Momentum sokongan kepada GPS semakin meningkat, kata naib presiden PBB

Dr Abdul Rahman (duduk lapan dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama ahli GPS N.4 Pantai Damai.

KUCHING, April 8: Momentum sokongan rakyat di negeri ini kepada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus meningkat.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia terbukti selepas segala keputusan dibuat sendiri termasuk melibatkan hasil mahsul negeri ini.

“Kita sekarang mempunyai kekuatan dan kemampuan sendiri. Setiap keputusan kita buat sendiri,” katanya pada Sesi Randau GPS N.4 Pantai Damai di Kampung Bintawa Ulu di sini malam tadi.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) menambah, kerajaan Sarawak juga serius menyediakan dana yang besar untuk mengatasi masalah bekalan air dan elektrik di seluruh negeri.

Ujar beliau, sejarah juga tercipta apabila buat pertama kali pentadbiran Sarawak dipimpin sepenuhnya anak tempatan.

“Penubuhan GPS bukan disebabkan tidak setia kepada Barisan Nasional (BN) tetapi lebih kepada usaha menuntut hak Sarawak.

“Kita sepatutnya diiktiraf sebagai wilayah dan bukannya negeri. Ini kerana kita merupakan wilayah yang bersama-sama membentuk Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai. — DayakDaily