Mohd Sadik diiktiraf sebagai ‘Hero Bomba’

Khirudin (kiri) menyampaikan pemadam api kepada Mohd Sadik sebagai simbolik pengiktirafan 'Hero Bomba' dengan disaksikan Tiong (kanan).

KUCHING, 23 Jun: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengiktiraf seorang juruteknik sebagai ‘Hero Bomba’ apabila berjaya menyelamat sebuah rumah daripada musnah dalam kebakaran.

Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman berkata juruteknik terbabit iaitu Mohd Sadik Isyak, 41 tahun bertindak pantas memadam dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering memadam kebakaran yang berlaku pada 22 Jun di Taman Matang Ria.

Jelasnya, tindakan pantas Mohd Sadik tersebut bukan sahaja menyelamatkan sebuah rumah, tetapi juga berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah-rumah berdekatan.


“Lazimnya, apabila berlakunya kebakaran kebanyakan orang awam akan mengambil gambar dan video daripada telefon bimbit masing-masing untuk dimuat turun di media sosial.

“Ini berbeza dengan tindakan Mohd Sadik yang mengambil alat pemadam api untuk memadam kebakaran tersebut.

“Tindakan pantas dan bertanggungjawab beliau telah berjaya menyelamatkan bukan sahaja rumah tersebut, tetapi kediaman lain di kejiranan itu,” katanya kepada DayakDaily hari ini.

JBPM Sarawak hari ini menyampaikan Sijil Hero Bomba kepada Mohd Sadik dan upacara tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii. — DayakDaily